Jumaat, 29 Januari 2010

Doa Majlis Penutup

DOA MAJLIS PERASMIAN PENUTUPAN KURSUS PENGURUSAN PERNIAGAAN

Ya Allah Ya Rahman Ya Rahim..

Engkaulah yang mempunyai segala kepujian, Engkaulah yang berhak menerima segala kepujian, Engkaulah yang berhak menerima segala kesyukuran, Engkalaulah yang memiliki segala pemerintahan, kepada Engkaulah kami kembalikan segala urusan. Kami bersaksi bahawa tiada Tuhan melainkan Engkau, ya Allah, kami memohon keampunan dan taubat daripada-mu Ya Allah. Kami bersaksi bahawa Nabi Muhammad S.A.W pesuruh-Mu Ya Allah.

Ya Allah Engkaulah Penguasa Langit dan bumi serta pebendaharaan antara kedua-duanya.

Kami merafakkan kesyukuran di atas izin dan inayah-Mu sehingga kami dapat menyempurnakan Kursus Pengurusan Perniagaan pada hari ini dan tika ini. Kami juga bersyukur kerana Engkau memberi ruang dan peluang untuk kami menimba pengalaman dan pelajaran baru berkaitan pengurusan perniagaan agar diaplikasikan dalam pentadbiran awam serta untuk kami kembangkan perniagaan kami yang bermula dari 25 Januari 2010 hingga ke saat ini. Moga-moga pengalaman dan pengetahuan yang cukup berharga ini memberi petunjuk dan pengajaran kepada kami dalam menambahbaik mutu perkhidmatan kami pada masa akan datang.

Ya Allah, Tuhan yang menyampaikan segala hajat dan permintaan.

Sesungguhnya kami amat bersyukur dan menghargai kesempurnaan nikmat yang telah Engkau kurniakan kepada kami. Sesungguhnya kami sememangnya meyakini dengan penuh keyakinan bahawa setiap impian dan ikhtiar kami tidak akan berjaya tanpa bantuan-Mu, justeru dengan kudrat dan iradah-Mu serta kuasa ungkapan Kun Fayakun-Mu, maka permudahkanlah segala urusan kerja kami, sehingga kami dapat mengekalkan mutu perkhidmatan yang berkualiti demi kesejahteraan agama kami yang tercinta.

Ya Allah Yang Maha Mendengar lagi Maha Melihat.

Kami menyedari dengan penuh ketaakulan bahawa Engkau amat menyayangi hamba-Mu yang melaksanakan sesuatu amanah dan tugas dengan tekun dan teliti sehingga mencapai tahap kecemerlangan dunia dan akhirat, justeru kurniakanlah kami kecintaan, keinginan dan kecenderungan melaksanakan amanah dan tugas dengan penuh iltizam dan dedikasi demi mencapai keredhaan-Mu.

Ya 'Aziz Ya Fattah Ya ‘Alim.

Kurniakanlah kami kekayaan ilmu pengetahuan dan hiasilah diri kami dengan sifat mahmudah, dan muliakanlah kami dengan ketaqwaan dan indahkanlah diri kami dengan kecantikan akhlak. Jadikanlah kami umat yang mendengar kebaikan lantas bersegera melakukan kebaikan, Dan jadikanlah kami umat yang mendengar dan mengetahui keburukan lantas bersegera meninggalkan keburukan.

Ya Hayyu Ya Qayyum Ya Zal Jalaliwal’ikram.

Sesungguhnya kami berlumuran dengan dosa, maka ampunkanlah dosa-dosa kami, Sesungguhnya kami lemah dalam bersendirian, maka kuatkanlah kami dengan Islam dalam amal jamai’e dan kolektif. Sesungguhnya kesabaran kami punya batasnya, maka kurniakanlah kami nikmat kesabaran seumpama sabarnya Nabi-nabi Ulul’azmi.

Sesungguhnya kami amat cenderung untuk mengutamakan diri kami, maka didiklah hati kami untuk mengutamakan keperluan saudara-saudara seagama kami sebagaimana Rasulullah S.A.W mendidik para sahabat berbuat demikian, sesungguhnya hati kami juga sentiasa berbolak-balik dan bercerai-berai, maka satukanlah hati-hati kami dan berikanlah ruang dan masa untuk kami bantu-membantu dalam menegakkan amal makruf dan nahi mungkar.

Ya Allah Ya Awal Ya Akhir.
Selawat dan salam kepada junjungan besar Rasulullah S.A.W. yang telah menyampaikan amanah-Mu dengan begitu sempurna sehingga kami dapat menikmati keindahan Islam dan Iman pada-Mu Ya Allah.
Amin Ya Rabbal 'Alamin.
29 Januari 2010
INTAN, BUKIT KIARA.

Tiada ulasan: