BERKRISIS 25 TAHUN
Suami, En. Alwi, berusia 54 tahun manakala isteri Puan Zawiyah, 51 tahun. Sama-sama berjawatan pengarah. Hanya berlaku krisis yang ringan-ringan. Tidak sepakat dalam keputusan. Tidak pula sampai berbantahan secara kasar, namun amat meresahkan jiwa, mengkusutkan fikiran dan merusuhkan perasaan. Sesekali mengganggu tugas atau kerja pejabat. Suasana rumahtangga muram atau tidak ceria. Keadaan begitu sudah lama berlaku. Semakin berusia bukan semakin surut, tetapi hati semakin amat sensitif dan mudah tersentuh atau mudah terasa, terutama di pihak isteri.
Kes ini diselesaikan dengan kaedah yang berikut:
a. Manusia dengan masalah sama seperti manusia dengan anggota zahir. Tiada siapa yang meminta kejadian rupa kita ini seperti yang kita ada. Ertinya bukan kita yang mahu. Tapi kita boleh terima seadanya. Tidak ada manusia yang meminta masalah, namun tiada pula manusia yang dapat lepas dari masalah. Manusia hanya perlu menghindari dan jangan mencetuskan masalah. Bukan semua masalah perlu diselesaikan, oleh itu manusia dengan masalah sangat ditentukan oleh saiz jiwanya.
Seseorang yang berjiwa lemah atau berjiwa kerdil, maka satu masalah dirasai seperti seratus masalah. Maka hidupnya keluh kesah, menderita, kecewa, rusuh, kusut, hilang bahagia, murung, muram dan tidak ceria. Orang yang berjiwa besar, kuat jiwanya, seratus masalah dirasakannya bagaikan tiada apa-apa masalah dalam hidupnya. Bahkan semua cabaran itu dirasakannya sebagai suatu keuntungan, maka hidupnya tenang, bahagia, sejahtera, ceria dan sentiasa gembira.
b. Lemah dan kuatnya jiwa seseorang itu sangat bergantung kepada faktor lemah dan kuat hubungan hatinya dengan Tuhan. Bahkan yang paling kuat jiwanya apabila cita-cita hidupnya ialah untuk memperjuangkan Tuhan. Orang yang hidupnya untuk Tuhan, setiap masalah itu dilihat kepada keuntungannya, antaranya:
i. Apabila berdosa, Tuhan datangkan masalah. Masalah itu mungkin sahaja datang dari berbagai sumber yang tidak disangka, antaranya dari isteri, dari suami, dari anak, dari kawan dan sebagainya.
ii. Sekaligus melalui masalah itu, Tuhan hapuskan dosa.
iii. Untuk mendatangkan rasa kehambaan, bahawa diri serba lemah dan dhaif.
iv Untuk mendatangkan rasa bertuhan, betapa hebat, agung, berkuasa dan Tuhan adalah segala-galanya.Untuk sentiasa muhasabah diri, membaiki diri, merintih kepada Tuhan, maka hati semakin jinak dan semakin dekat dengan Tuhan.
vi. Dalam menghadapi hidup ini, perlukan akal yang sentiasa berfikir dan hidup. Dengan masalah, akal tidak berhenti mencari jalan penyelesaian dan mengatasi masalah. Maka akal sentiasa terasuh dan terdidik untuk berfikir.
vii. Dalam konteks rumahtangga, suami isteri semakin akrab kerana senasib, berkongsi masalah dan berkongsi mencari jalan penyelesaian - perkongsian maknawiyah.
viii. Mana yang kita pilih, antara kita menjadi manusia beriman dan bertaqwa yang ditimpa masalah, yang mana dari masalah itu terkandung seribu satu nikmat dan rahmat; atau kita pilih menjadi manusia kufur yang juga tidak dapat lepas dari ditimpa masalah dan musibah, yang mana di atas kekufuran itu terkandung seribu satu laknat dan kemurkaan Tuhan. Sudah tentulah kita pilih menjadi manusia beriman dan bertaqwa. Kalau begitu mengapa kita memperbesarkan sedikit ujian dari Tuhan yang datang sekali sekala berbanding nikmat dan rahmat- Nya yang tidak sedetik pun terputus dari kita. Maka penuhilah ciri-ciri orang beriman dan bertaqwa, nescaya Tuhan beri jalan keluar dari sebarang masalah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan