Seorang pemuda soleh mengunjungi sebuah kedai roti. Dia memerhatikan roti-roti yang disusun berbaris kemas di atas meja.
Berapakah harga sebuku roti itu? tanyanya sambil menunjukkan sebuku roti yang nampak segar seperti lepas dimasak.
Tidak mahal, hanya satu dirham sahaja, jawab penjaga gerai itu dengan muka manis.
Pemuda itu menyeluk sakunya untuk mengeluarkan wang. Dahinya tiba-tiba berkerut, tangannya masih di dalam saku tercari-cari. Ke mana perginya wang aku, hatinya kecil tertanta-tanya.
Minta-maaf, saya sudah kehilangan kesemua wang saya. Baru sebentar tadi ia masih ada, jelas pemuda soleh kepada penjaja.
Seorang lelaki yang mengenali peribadi pemuda soleh itu terus berkata,
Ya Allah, kudungkanlah tangan orang yang mencuri wang pemuda ini.
Mendengar doa orang itu, pemuda soleh terus berkata, Wahai Tuhan, jika wang itu diambil kerana desakan hidup untuk memenuhi keperluan, berkatilah dia. Tetapi jika ia diambil kerana tidak takut kepada dosa, moga-moga inilah dosanya yang terakhir.
2 . Beriman Kerana Terbela
Semasa Sultan Salahuddin Al Ayubi berada di dalam khemahnya, dia terdengar suara wanita yang sedang menangis, lalu ia memerintahkan agar wanita itu dibawa mengadapnya.
Kenapakah ibu menangis? Apakah musibah yang menimpa diri ibu? tanya Sultan.
Wahai sultan, hidupku kini sebatang kara, sedangkan aku sudah tua. Anak lelakiku telah hilang dalam peperangan dengan tenteramu. Aku tidak tahu sama ada dia masih hidup atau sudah mati. Sementara suamiku pula telah menjadi tawanan tuan, padahal dialah yang menyara nafkah hidupku, kata wanita tua itu lagi.
Sultan Salahuddin lalu memerintahkan supaya dibebaskan suami wanita tersebut dan dicarikan anaknya. Rupa-rupanya anak lelakinya masih hidup dan dia pun dibawa kepada ibunya.
Wanita itu terlalu gembira dan terharu dengan kebaikan ajaran Islam yang ditunjukkan oleh penganutnya, akhirnya kedua-dua suami isteri itu memeluk Islam di tangan Sultan Salahuddin.
3 . Hebatnya kanak-kanak generasi pertama Islam!
Anak-anak orang mukmin sedang asyik bermain di pinggir kota Madinah. Tiba-tiba suasana gempar seketika. Anak-anak tadi bertempiaran lari menyembunyikan diri. Mengapa?
Rupa-rupanya mereka melihat Sayidina Umar ibnu Khattab sedang berjalan melalui tempat mereka bermain. Anak-anak kecil itu gerun dengan sikap tegas yang ada dalam jiwa Umar. Namun ada seorang budak yang tidak ikut lari, malah terus bermain seolah-olah tidak ada apa-apa yang berlaku.
Sayidina Umar lalu bertanya, Mengapa engkau tidak lari bersama kawan-kawanmu?
Anak itu menjawab dengan berani, Saya tidak berbuat kesalahan apa-apa, mengapa saya harus takut. Lagipun jalan ini masih luas untuk tuan lalu.
Sayidina Umar tersenyum melihat keberanian dan kecerdasan anak tersebut.
Siapa namamu? tanya Sayidina Umar.
Abdullah bin Zubair.
Abdullah bin Zubair adalah anak Asma binti Abu Bakar. Inilah jiwa kanak-kanak Islam zaman kegemilangan Islam dahulu yang hanya takut kepada Tuhan, bukan pada manusia
4 . Mudahkan Jangan sukarkan
Seorang Badwi telah datang kepada Rasulullah kerana hendak memeluk Islam. Rasulullah saw bertanya kepadanya tentang Allah SWT. Lalu Badwi itu menunjukkan tangannya ke langit seolah-olah ia mahu menyatakan kepada Nabi saw bahawa Allah itu adalah Tuhan. pada wajahnya terbayang sifat ketulusan hati yang menyenangkan.
"Dan aku ini siapa?" tanya Rasulullah lagi.
"Tuan adalah Muhammad, Pesuruh Allah," ujarnya.
Setelah mendapat jawapan yang sederhana itu, Nabi saw lantas tersenyum lalu mengajak Badwi itu duduk dekat baginda. Dengan itu rasmilah Badwi itu sebagai pemeluk Islam.
Demikianlah Nabi saw telah menunjukkan contoh terbaik bagaimana menuntun orang kepada Islam mengikut taraf akal seseorang. Yang lebih penting ialah melahirkan pembelaan dan kasih sayang kepada mereka hati tetap teguh dalam Islam.
5 . Bagaimana dengan Allah?
Dalam satu rombongan (kafilah) ada seorang lelaki telah terpikat kepada seorang perempuan.
Setelah hari sudah jauh malam, dia mula menghampiri perempuan itu untuk menggodanya.
Perempuan itu pun berkata, Lihatlah adakah orang-orang itu telah tidur semuanya?
Gembiralah lelaki itu kerana menyangka harapannya akan dipenuhi. Setelah mengelilingi rombongan kafilah tersebut, didapatinya semua orang telah tidur.
Dia pun berkata, Betul, semua orang telah tidur,
Perempuan itu bertanya, Bagaimana pendapatmu mengenai Allah SWT. Tidurkah Ia di saat ini?
Lelaki itu tersentak, lalu menjawab, Sesungguhnya Allah SWT tidak pernah tidur dan tidak pernah mengantuk!
Perempuan itupun berkata, Sesungguhnya Tuhan memang tidak tidur dan memang tidak pernah tidur. Dia akan melihat kita, walaupun manusia tidak melihat. Maka lebih tepat kalau kita takut akan Dia.
Lelaki itu sedar dan terus meninggalkan niat jahatnya itu lantaran takut kepada Allah Yang Maha Melihat Lagi Maha Mengetahui. Dia bertaubat dan kembali ke rumahnya.
Setelah dia mati ada orang bermimpi bertemu dengannya, lalu bertanya, Bagaimana keadaanmu?
Lalu dijawab, Allah telah mengampuni Aku sebab takutku kepada-Nya dan meninggalkan perbuatan dosa itu."
Tiada ulasan:
Catat Ulasan