Selasa, 6 Mei 2008

Demi Waktu Dhuha

Allah berfirman di dalam surah Ad Dhuha:
" Wadhuha wallaili izasaja."

Maksudnya:"Demi waktu dhuha dan demi waktu malam bila ia belabuh." (Ad Dhuha: 1-2)

Waddhuha` ertinya `demi waktu dhuha` dan `wallaili` ertinya `demi waktu malam`.

Kita akan bahaskan dua perkataan Al Quran ini sahaja. Maksudnya Tuhan bersumpah dengan waktu dhuha dan Tuhan bersumpah dengan waktu malam. Perlu diingat bahawa bila Tuhan bersumpah dengan satu perkara atau keadaan, itu menunjukkan sesuatu perkara atau keadaan itu sangat penting. Ia suatu perkara yang menarik perhatian. Kalau tidak penting tentu Tuhan tidak sebut. Tuhan tidak berkata,"Demi habuk" atau "demi debu" yang manusia tidak manfaat darinya. Bila Tuhan bersumpah dengan sesuatu benda, perkara atau keadaan, itu sesuatu yang besar, yang manusia akan dapat manfaat penting darinya.

Bila mana Tuhan bersumpah dengan waktu dhuha, ia membawa beberapa tafsiran:

1.Waktu dhuha adalah waktu yang memberi erti sangat besar kepada kehidupan manusia. Waktu dhuha adalah waktu penting yang mesti diberi perhatian

2.Waktu dhuha itu 15 min selepas waktu Isyrak (terbit matahari) sehingga kedudukan matahari tepat dan tegak diatas kepala. Ertinya kedudukan matahari penting diperhatikan manusia.

3.Waktu dhuha adalah waktu paling berfaedah buat manusia. Manusia baru bangun dari tidur, otak dan tenaga masih segar. Bila otak dan tenaga yang segar bertemu dengan waktu dan suasana yang segar, akan memberi hasil dan faedah yang banyak.

Waktu inilah orang hendak keluar bekerja, hendak mengaji, hendak berniaga, bertani, hendak ke pejabat, hendak belajar, hendak mengajar dan sebagainya. Waktu ini juga bagi kebanyakan negeri-negeri terutama di timur tidak terlalu panas dan tidak terlalu sejuk. Ini menyebabkan kita seronok bekerja dan tidak cepat letih. Kebetulan pula kita baru bangun dari tidur, otak masih segar, tenaga masih segar dan masih baru. Kalau bertani akan mendapat hasil yang banyak. Kalau sedang belajar, waktu ini juga kita boleh menerima banyak ilmu.

Walaupun boleh bekerja hanya untuk 3 atau 4 jam diwaktu dhuha tetapi hasilnya lebih banyak daripada 10 jam. Kerana itulah itu Tuhan bersumpah dengan waktu dhuha. Jadi kena jaga waktu ini. Inilah waktu perdana (prime time) di mana manusia boleh berusaha dan memberikan hasil yang maksima.

Tiada ulasan: