Jumaat, 17 April 2009

Berkasih Sayang Antara Kita


“Mamat, Mamat!” jerit Mak Mah.

Hampir lima atau enam kali Mak Mak memanggil nama Mamat tetapi Mamat tak muncul-muncul juga.

“Mana pulaklah budak ni,” bisik hati Mak Mah.

Nampaknya Mak Mah terpaksa melakukan kerja-kerja di rumah sendirian. Mamat sudah hilang entah ke mana.

Begitulah nasib Mak Mah. Suaminya baru sahaja meninggal dunia beberapa minggu lalu. Dia terpaksa mengharapkan anaknya Mamat untuk membantu kerja-kerjanya di rumah kerana dia sendiri tidak sihat.

Di pinggir sebatang sungai di hujung kampung, Mamat membaling-baling batu yang baharu dipungutnya ke dalam sungai. “Ha, kali ini batu aku lagi jauh!” Mamat menjerit kepada kawannya, Samad.

“Mana pulak! Batu yang aku baling tadi lagi jauh. Engkau salah tengoklah Mamat.”

“Engkau ni asyik nak menang saja. Bila aku menang pun engkau tak mahu mengaku,”
jawab Mamat pula.

Mamat dan Samad terus bertelagah sehinggalah kedua mereka hilang sabar. Seperti dirasuk syaitan, Mamat bergelut dengan Samad walhal perkara yang diselisihkan hanyalah soal yang sangat kecil sahaja. Mamat menarik baju Samad sehingga terkoyak, dan Samad pula membalas dengan menarik bag yang sedang disandang oleh Mamat. Bag itu lantas dicampaknya ke dalam sungai yang sedang deras mengalir.

“Ya Allah, beg emak aku dah hanyut!” jerit Mamat.

“Samad, tengok apa yang engkau dah buat ni. Itu beg mak akulah. Ada duit dalam tu tau. Itulah duit untuk kami dua beranak nak makan seminggu ini. Kau kan tahu kami ni orang miskin. Sekarang apa yang kami nak makan?”

“Ya ke? Manalah aku tahu. Itulah engkau cepat sangat panas baran. Yang engkau tarik baju aku hingga koyak tu apa pasal?”

“Engkau yang tak berhati perut. Sekarang tengok apa dah jadi. Mesti mak aku marah nanti,”
jawab Mamat tak mahu mengalah.

Kebetulan, seorang nenek sedang berjalan di tepi sungai itu. Dia memerhatikan gelagat Mamat dan Samad sejak tadi lagi. Nenek itu menghampiri mereka berdua untuk memberikan sedikit nasihat.

“Nak, tak elok bergaduh macam ni. Bila kita bergaduh, bermakna kita tidak mendapat kasih sayang Tuhan. Bila Tuhan tak sayang, tentulah banyak masalah yang akan menimpa kita. Buktinya, baju anak yang ini dah koyak, anak yang ini pula sudah kehilangan bag milik maknya. Sudah tentu bila balik nanti, masing-masing akan dimarahi pula oleh emak masing-masing."

" Sebaliknya, kalau kita berbaik-baik dan berkasih sayang dan tinggalkan pergaduhan dan pertelagahan, Tuhan juga akan sayang kepada kita. Bila Tuhan sayang, masalah kita akan selesai dengan mudah. Mana satu jalan yang anak-anak nak pilih, jalan yang mudah atau jalan yang penuh masalah? ”


Entah kenapa nasihat nenek itu sangat memberi kesan kepada Mamat. Sudah ramai orang yang memberi nasihat kepadanya tetapi ditolaknya begitu sahaja. Mungkin kerana wajah nenek itu yang begitu tenang, hati Mamat benar-benar tersentuh melihat ketenangan yang dimilikinya. Sangat berbeza daripada air mukanya sendiri yang bengis dan selalu berkerut.

Fikiran Mamat mula menerawang. Memang benar, hidupnya sangat banyak ditimpa masalah. Yang satu belum selesai, datang yang lain pula. Kerana itulah dia sering rasa tak tenang, rasa tak bahagia. Dan kerana itu jugalah dia suka merayau-rayau dan membuat kacau di sana sini.

Setelah nenek itu pergi, Mamat pun berkata kepada Samad, “Samad, betul kata nenek itu kan. Rupa-rupanya sebab aku tak suka berkasih sayanglah, aku ni selalu dibenci orang. Hidup aku selalu ditimpa masalah. Sekarang aku nak berbaik-baik dengan engkau. Aku nak tengok betul tak nasihat nenek itu tadi.”

Samad tercengang-cengang melihat perubahan Mamat. “Betul ke Mamat ni nak jadi baik?”

Samad seperti tidak percaya. “Baguslah tu Mamat. Aku pun minta maaf kepada engkau sebab aku dah campak bag emak engkau ke dalam sungai. Engkau cakaplah pada mak engkau yang itu adalah angkara aku.”

“Tak, sebenarnya aku yang salah. Perbuatan engkau itu sebenarnya hukuman Tuhan kepada aku. Biarlah aku dimarahi emak aku.”

Mamat pun balik ke rumah. Di sepanjang jalan, dia memikir-mikirkan dosa-dosa dan kesalahannya selama ini. Dia berazam untuk tidak mahu bertengkar lagi. Mamat terkejut apabila dia sampai ke rumahnya, emaknya tidak marah-marah kepadanya seperti biasa.

Sebalinya, emaknya cuma tersenyum kepadanya. “Syukurlah engkau dah balik. Emak rasa bimbang tadi. Mula-mula emak marah tengok engkau tak ada, tetapi bila emak ke kebun dan ternampak bangkai seekor anjing yang dilanggar kereta, emak terus teringatkan engkau. Emak risau pasal engkau.”

“Padanlah dia tak marah aku. Betul cakap nenek tadi. Bila aku dah tak mahu bergaduh, cepat sahaja Tuhan bantu.”

“Mamat, tolong ambil air di sungai tu,”
jerit Mak Mah dari belakang rumah.

Mamat terus bingkas dan mengambil dua biji balang untuk diisi air. Oleh kerana cuaca agak mendung, Mamat berjalan dengan pantas ke sungai tadi. Dia tidak mahu terperangkap dalam hujan lebat.

Sebaik sahaja Mamat selesai mengisikan air ke dalam balang-balang air tadi, dia ternampak sesuatu yang tersekat di balik sebiji batu besar di tepi sungai. Mamat mendekatinya dan alangkah terperanjat dia! Benda itu ialah beg yang hanyut tadi. Dengan kuasa Tuhan, beg itu tersekat di batu itu.

Mamat menangis terharu. Dia benar-benar merasakan kasih sayang Tuhan kepadanya. Memang benarlah kata-kata nenek itu tadi, Tuhan mengasihi hamba-hambanya yang cuba berkasih sayang dan meninggalkan pergaduhan dan persengketaan.

Jumaat, 10 April 2009

AUKU

Nota Pembukaan:

Our Nation is at risk. Our once unchallenged preeminence in commerce, industry, science, and technological innovation is being overtaken by competitors throughout the world.

1. Petikan tersebut saya ambil dari satu laporan yang dikeluarkan pada April Tahun 1983. Laporan yang dikenal sebagai A Nation At Risk itu bertujuan untuk menilai kualiti pendidikan di Amerika Syarikat ketika itu.

2. Petikan itu saya kira sangat penting untuk kita renungi kerana negara ini juga berada dalam keadaan yang genting.

3. Kualiti pendidikan yang merosot dan merudum merupakan antara faktor utama kepada kedudukan ekonomi yang terumbang ambing.

4. Di rantau ini kita melihat bagaimana negara negara yang dahulunya pertumbuhan ekonominya langsung tidak boleh dibandingkan dengan negara ini, sekarang mula mengorak langkah dan memintas pencapaian kita.

5. Namun kualiti pendidikan yang cemerlang bukan hanya untuk memenuhi tuntutan ekonomi semata. Kita harus menilai kualiti serta kedudukan pendidikan dari aspek intelektual dan kekuatan moral yang mengikat kuat fabrik sosial negara ini.

6. Kegagalan Institusi Pendidikan Tinggi melahirkan mahasiswa yang berfikiran kritis dan bebas akibat dari sekatan-sekatan yang wujud dari perlaksanaan AUKU ternyata membataskan perkembangan pemikiran kreatif dan inovatif.

7. Yang menyedihkan kekangan ini bukan sahaja memberikan kesan kepada pelajar-pelajar, tetapi juga di kalangan para intelektual negara.

8. Kekangan yang sudah lama mengakar dari sudut perundangan kini sudah mula merubah menjadi sebagaimana yang dikatakan oleh Czeslaw Milosz “The Captive Mind”.

9. AUKU telah menyebabkan pendidikan kita umpama kilang perusahaan yang menghasilkan robot/jentera.

10. Kebebasan berfikir secara kritis tidak dibenarkan kerana pemerintah gusar akan peranan para intelektual dan mahasiswa yang berupaya menjadi jurubicara rakyat.

11. Di hadapan kita sekarang adanya satu rang undang-undang pindaan terhadap AUKU.

12. Namun sekiranya diteliti pindaan tersebut tidak mampu menyuntik sebarang perubahan.

Nota Perbahasan
1. Saya berpegang kepada pernyataan umum ekonomi, jika kita mempunyai pilihan untuk melabur dalam semua sektor , pilihlah dan laburlah dalam sektor pendidikan. Sejak memula kerjaya itulah yang saya pilih. Melabur dalam Yayasan Anda. Kita tidak akan tersilap kerana pulangan yang diperolehi baik dalam jangka pendek maupun jangka panjang.

2. Kebimbangan saya dalam sektor pendidikan tinggi ini bukanlah terhadap keperluan kemudahan infrastrutur baru tetapi terhadap keperluan mengkaji semula kandungan, kurikulum dan minda graduan agar dapat memenuhi keperluan dan permintaan tenaga kerja dalam ekonomi baik tempatan maupun global yang dibekalkan oleh universiti-universiti tempatan.

3. Kemunduran mana-mana masyarakat atau Negara dapat dikesan dari kehilangan ilmu pengetahuan atau keengganan menerima, menyesuai dan memperbaiki melalui penghayatan pengetahuan dan penggunaan teknologi baru. Kini kita berada pada tahap bahaya akan kehilangan daya saing di peringkat global semata-mata kerana kemerosotan taraf pendidikan tinggi kita dan quality minda graduan yang dijana oleh universiti tempatan.

4. Dalam laporan Bank Dunia bertajuk “Malaysia And The Knowledge Economy: Building A World Class Higher Education System” yang dikeluarkan pada tahun 2007 membuat kesimpulan:
“kelebihan persaingan ekonomi Malaysia tidak lagi terjamin. Malaysia perlu mentransformasi dirinya kepada ekonomi innovatif dimana persaingan tidak lagi berdasar kepada pengeluaran besar-besaran, efisiensi berasaskan kos rendah dan tenaga buruh kasar yang murah dalam perancangan masa depan. Malaysia perlu mengintegrasi sains, teknologi dan kejuruteraan dalam proses pengeluaran, dimana daya kreatif, daya imaginasi dan daya rekacipta terjelma dan berintergrasi dalam budaya firma-firma dalam ekonomi negara.

5. Apa yang perlu dilaksanakan bagi meningkat quality dan standard university
i) Pendidikan tinggi perlu dikembang dan qualiti dipertingkatkan.
ii) Kawalan ke atas pentadbiran dan kewangan perlu dikendurkan. Ini bagi memberi ruang kepada universiti menekan kepada pembangunan ilmu serta menyerap dan mengambil ilmu baru dari seluruh pelusuk dunia.
iii) Mengeluar dan memperdagang ciptaan berinnovasi.
iv) Mengeluar tenaga mahir yang diperlukan dari sudut teknologi dan pengurusan oleh firma-firma.
v) Kerajaan perlu menggalak penubuhan dan perkembangan institusi pendidikan swasta.
vi) Membangun pusat kecemerlangan dan mengintergrasikannya dengan pusat-pusat penyelidikan dan pembangunan lain dengan kerjasama universiti-universiti.
vii) Meletak tanda aras prestasi akademik baik fakulti maupun pelajar bersandarkan prestasi universiti-universiti kelas dunia.

6. Graduan kolej dan university boleh dibahagikan dalam beberapa kategori :
a. Lulusan Universiti Awam seperti UM, UKM, USM, UiTM, UPM, UUM, Universiti Malaysia dan sebagainya.
b. Lulusan University Kerajaan Negeri seperti Unisel, Uni Sains Islam Malaysia, Kolej Uni TATI, U Teknikal Melaka, dan sebagainya
c. Lulusan University Swasta milik Agensi Kerajaan seperti Uniten, U Petronas, U Multimedia, University Kuala Lumpur dan sebagainya.
d. Lulusan University Swasta seperti, Limkokwing, Taylor Uni Kolej, Sunway Uni College, Sedarya Uni College, INTI Uni College dan sebagainya
e. Lulusan program University berkembar yang ditawarkan di banyak kolej dan university tempatan dengan university2 luar Negara
f. Lulusan University luar Negara di Malaysia seperti, U Nottingham (Semenyih), U Monash (Bandar Sunway), U Curtin (Kuching), U Swinburne (Miri), U Newcastle (akan dibina diJohore Bahru) dan sebagainya.
g. lulusan university luar Negara baik UK, USA, Australia, Canada, NZ, Jepun, German, Peranchis, Timur Tengah dan sebagainya

7. AUKU tidak terlaksana secara menyeluruh. Banyak ditekankan keatas universiti2 Awam. Akibatnya warga universiti2 awam terbelenggu, kaku, kurang daya kreatif dan inovatif. Pensyarah dan kakitangan universiti pula terikat dengan Akujanji.

8. Walaupun tidak berupaya melaksanakan AUKU secara menyeluruh kerajaan melalui pelbagai agensi dan cara mengikat pelajar dan pengurusan universiti agar tunduk dan akur kepada segala kehendak kerajaan dengan pelbagai tekanan dan ugutan. Pelajar-pelajar di luar Negara di ugut dengan pelbagai cara agar “in-line” dengan kehendak kerajaan.

8. Hasilnya, menurut Timbalan Menteri Sumber Manusia YB Abdul Rahman Bakar pada 3 July 2006 dalam Dewan ini 70% dari pengangguran dikalangan siswazah terdiri dari graduan universiti awam, 26 % universiti swasta dan 34% universiti luar Negara (kebanyakannya graduan dari Timur Tengah) .

9. Ini adalah hasil pelaksanaan AUKU dan Akujanji keatas warga universiti yang mengakibatkan graduan tidak dapat memenuhi standard dan quality pasaran semasa.

10. Majallah “The Economist” keluaran 10 Sept 2005 merumuskan.
“Teras asas yang menjayakan universiti bertaraf dunia, “world class”, ialah kebebasan universiti dari kawalan ketat kerajaan dan menggalakkan daya saing antara para akademik dan pelajar”

11. Kerajaan sedar bahawa sistem pendidikan tinggi negara sudah ketinggalan dan tidak lagi berdaya menandingi persaingan ekonomi global yang memerlukan kepada graduan yang berdaya kreatif dan innovatif dalam persaingan ekonomi global.

12. Pada 1987 semasa menjawat Menteri Pendidikan, saya sudah merangka satu rang undang-undang untuk memansuhkan AUKU kerana mengisafi keperluan graduan yang terbuka minda, aktif, kreatif dan innovatif untuk memenuhi keperluan tenaga kerja masa depan yang berupaya bersaing bukan sahaja diperingkat tempatan tetapi juga di peringkat global.

13. Pada tahun 2004, universiti tertua dalam negara ini Universiti Malaya telah menduduki tangga ke-89 dalam ranking Times Higher Education Supplement. Namun, pada tahun 2005, Universiti Malaya telah jatuh ke tangga ke-169 dan pada tahun 2006 jatuh lagi 23 tangga dan menduduki tangga ke-192. Akhirnya pada tahun 2007, Universiti Malaya terkeluar dari 200 buah universiti terbaik di dunia dan menduduki tangga ke-246. Pada 2008 meningkat sedikit ke tangga 230

14. Menurut Scopus Database, jumlah kertas penyelidikan yang dihasilkan oleh Malaysia adalah sebanyak 1,226 pada tahun 2001 dan meningkat sebanyak 175% kepada 3,372 pada tahun 2006.

Di Singapura pula, kadar peningkatan kertas penyelidikan yang dihasilkan dalam tempoh lima tahun itu adalah 83%, iaitu dari 5,274 kepada 9,630; dan di Australia, kadar peningkatannya adalah 87%, iaitu dari 511 kepada 958.

Walaupun Singapura dan Australia mempunyai jumlah kertas penyelidikan yang kurang daripada Malaysia dalam tempoh lima tahun itu, namun beberapa buah universiti daripada kedua-dua negara tersebut berjaya menduduki tempat dalam 200 buah universiti terbaik di dunia.

Angka-angka ini mendedahkan kelemahan serius yang sedang dialami oleh institusi pengajian tinggi awam dalam negara kita yang terlalu menitikberatkan kuantiti dan bukan kualiti. Akibatnya, negara kita terpaksa berhadapan dengan realiti bahawa sebanyak 70% daripada mahasiswa graduan universiti awam menganggur iaitu lebih kurang 60,000 graduan setahun (2006).

15. Pelan Strategi Pendidikan Tinggi yang dibentuk sepatutnya berfungsi memperbaiki mutu pendidikan tinggi yang kian merosot, namun nampaknya pelan ini meninggalkan beberapa aspek yang penting dalam usaha memperbaiki kualiti universiti awam.
Antaranya kuasa autonomi yang masih terbatas oleh Akta Universiti dan Kolej-kolej Universiti (AUKU) dan kemudiannya oleh Akujanji, termasuk perlantikan Naib Canselor masih terikat oleh pendirian atau simpati politik.

16. Malaysia masih terkebelakang dalam pengeluaran tenaga sumber manusia saintifik dan berpengetahuan teknologi tinggi menyebabkan semua industri mengalami kekurangan ketara dalam tenaga kerja tersebut. Tenaga kerja seperti ini perlu dikumpulkan supaya pelabur baik tempatan maupun asing dapat menggunakan mereka, sepertimana teknologi computer menggunakan tenaga kerja dari Ireland, India, Taiwan dan Hong Kong. Sebenarnya, Negara-negara ini melabur begitu besar dalam sector pendidikan dan memberi kebebasan kepada universiti untuk menjana graduan yang setanding dengan Negara-negara maju menyebabkan pertumbuhan ekonomi mereka tinggi dan mampan.

17. Yang paling penting dalam pendidikan tinggi kita ialah transformasi untuk mendokong sistem industri, penyelidikan dan pembangunan serta pusat kecemerlangan yang mesti diwujudkan jika ingin bersaing dan berperanan dalam ekonomi global. Kita perlu menggunakan kepakaran tempatan yang innovatif dan kreatif untuk membentuk sistem industri kita tersendiri. Kita perlu terlibat dalam pasaran global dan senantiasa innovatif dan kreatif dalam pengeluaran barangan dan perkhidmatan bagi memasti penerusan permintaan. Kita tidak boleh terus bergantung kepada tenaga pekerja asing untuk mencapai objektif ini.

18. Kita hanya bergantung kepada sektor asing untuk membawa masuk teknologi terkini secara sepakat untuk terlibat sama dalam ekonomi global. Pelabur asing tidak akan melabur jika kita sendiri tidak berminat atau mempunyai tenaga kerja, pengetahuan asas dan pandangan dunia yang sama untuk membantu mereka mencapai objektif penglibatan mereka dalam ekonomi global. Hanya mereka yang mempunyai objektif dan visi yang sama dan percaya kepada menafaat bersama dalam hubungan perniagaan akan bekerjasama antara satu sama lain. Oleh kerana mereka proaktif, agresif dan beroreintasikan pulangan maka kita perlu membentuk tenaga kerja berkebolehan kosmopolitan dan berpandangan kehadapan untuk berjaya apabila menyertai ekonomi global. Ini hanya boleh berlaku sekiranya Institusi Pendidikan Tinggi tersenarai dan berdaya saing dengan university terbaik dunia seperti universiti-universiti di Singapura, China, Jepun, Taiwan dan malah Thailand sekarang ini. Ini tidak akan tercapai selagi pelajar dan tenaga pengajar universiti terbelenggu dengan AUKU.