Selasa, 26 Ogos 2008

Erti Kemerdekaan

Bila kita menyebut tentang kemerdekaan, ia adalah merupakan suatu pengertian yang telah menjadi sifat atau fitrah semulajadi manusia. Iaitu dengan lain-lain perkataan,kemerdekaan adalah sesuatu yang menjadi keinginan semua manusia di dunia ini.

Tidak ada manusia di dunia ini yang tidak menginginkan kemerdekaan. Bahkan ia lebih menjadi suatu perkara yang dicita-citakan oleh setiap manusia. Cuma yang berbeza dalam pengertian setiap manusia di dunia ini adalah memahami apakah erti kemerdekaan itu dan bagaimana bentuk kemerekaan itu serta bagaimana pula usaha yang perlu dilakukanuntuk mencapai kemerdekaan itu.

Dalam konteks ini, setiap individu manusia atau setiap kumpulan manusia atau setiap bangsa, masing-masing ada mempunyai fahaman dan pandangan yang tersendiri dalammemberikan erti kemerdekaan itu, bagaimana bentuk kemerdekaan itu dan bagaimana harus diusahakan untuk mencapai kemerdekaan itu. Dan dalam hal ini, kalaulah kitatanyakan kepada seorang individu tentang fahaman dan pandangannya terhadap erti kemerdekaan itu, kelak ada yang akan berkata bahawa kemerdekaan bererti bebas membuat apa sahaja, tanpa batas dan mengikut apa sahaja yang dikehendaki oleh hawa nafsu manusia itu, sekalipun berlawanan dan bertentangan dengan undang-undang,tatasusila dan hak asasi manusia lain.

Kemudian kalau kita tanyakan kepada kaum buruh pula lantang fahaman dan pandangan mereka terhadap ertinya kemerdekaan, mereka pula nanti berkata bahawa kemerdekaan bererti bebas dari cengkaman kaum kapitalis itu bagi mereka, kemerdekaan bererti mereka dapat membuat tuntutan terhadap kehendak-kehendak yang diperlukan olel kaum buruh.

Dan kalau kita bertanya pula kepada golongan nasionalis tentang fahaman dan pandangan mereka terhadap kemerdekaan, mereka pula akan berkata bahawa ia bererti terlepas daripada dijajahi oleh bangsa lain ke atas bangsa dan negaranya. Dan bagi mereka,kemerdekaan bererti mereka dapat mengatur kehidupan bangsa dan negara samada dari segi politik, ekonomi, pendidikan, sosial dan lain-lainnya mengikut apa yang mereka kehendaki.

Kepada golongan kapitalis pula, kemerdekaan bererti mereka dapat menggunakan modal dengan sebebas-bebasnya untuk mendapat keuntungan sebanyak mana yang mungkin walaupun terpaksa menindas kaum buruh ataupun merosakkan akhlak manusia atau menempuh jalan yang haram.

Cukuplah kita paparkan sekadar itu erti kemerdekaan sebagaimana yang difahamkan oleh sebahagian manusia.

KEMERDEKAAN YANG MEMBUAT HURU HARA.

Erti kemerdekaan yang telah disebutkan tadi, jika setiap individu atau kumpulan atau bangsa itu mengamalkan fahaman dan pandangan masing-masing mengikut cara masing-masing serta memperjuangkan-nya mengikut fahaman dan pandangan mereka sendiri, sudah barang tentu akan berlaku pertembungan dan pelanggaran antara satu golongan dengan golongan yang lainnya, antara individu dengan individu dan antara satubangsa dengan satu bangsa yang lain.

Akhirnya timbullah krisis demi krisis hingga membawa kepada peperangan dan pertumpahan darah antara mereka. Akibatnya, lahirlah bermacam-macam bentuk jenayah dan kemungkaran di muka bumi Tuhan ini dan akhirnya manusia hidup dalam huru hara dan dalam kecelakaan. Kebimbangan dan ketakutan sentiasa menyelubungi jiwa manusia. Kalau demikianlah keadaannya, apakah ini yang dikatakan kemerdekaan?Apakah dalam keadaan jiwa yang tertekan oleh kebimbangan dan ketakutan itu dikatakan jiwa yang merdeka?

Sebenarnya, inilah yang dikatakan kemerdekaan yang bukan kemerdekaan! Kehidupan yang seumpama inilah yang digambarkan oleh Allah S.W.T di dalam firman-Nya yang berbunyi:

Maksudnya:

"Lahirlah kerosakan di daratan dan di /autan oleh kerana usaha manusia sendiri sehingga Allah merasakan kepada mereka sebahagian dari (azab perbuatan mereka) agar mereka kembali ke jalan yang benar. " - Ar Rum 41

Inilah yang dikatakan neraka dunia sebelum neraka akhirat. Apakah sudah masuk neraka dan merasakan azabnya di dunia ini lagi, dikatakan yang kita ini merdeka? Atau dalam lain-lain perkataan, dapatkah kita merasakan nikmat kemerdekaan yang kita perjuangkan itu kalau pada hakikatnya kita berada dalam keazaban neraka dunia! Apakah sudah masuk neraka masih kita mengatakan yang kita ini merdeka?

Firman Allah lagi: Maksudnya:

"Bahawasanya mereka, usaha mereka telah tersesat di dunia ini sedang mereka menyangka mereka telah membuat kebaikan. " - Al Kahfi: 54.

Rupa-rupanya, kemerdekaan yang dicari, neraka yang ditemui. Inilah akibat mencari kemerdekaan dengan mengikut hawa nafsu semata-mata atau mengikut fikiran yang tidak berlandaskan syariat. Usaha-usaha manusia seperti ini tidak sampai kepada matlamat dan akan berakhir dengan kegagalan. Mereka yang gagal mendapat kemerdekaan yang hakiki akan mendapat seksa neraka di akhirat nanti.

Isnin, 25 Ogos 2008

Hakikat Kesabaran

Ada dua orang lelaki yang begitu bersungguh-sungguh menebar jala masing-masing ke dalam sungai. Salah seorang daripadanya menebar dengan menyebut nama Allah manakala yang seorang lagi menebar dengan menyebut nama berhala. Mereka berusaha untuk membuktikan agama siapa yang benar dan memberi rezeki kepada penganutnya.

Jala yang ditebar oleh si kafir selalu menghasilkan ikan yang banyak. Makin lama ikan yang dikumpul olehnya makin banyak. Hatinya begitu girang. Dan bertambah girang apabila dia mendapati bakul si Muslim masih kosong walaupun telah berpuluh-puluh kali jalanya diangkat.

Si Muslim masih menjala dengan sabar dan tekun. Dalam hatinya tidak sedikit pun terdetik sangka buruk terhadap Allah. "Mungkin ada rezeki yang lebih baik daripada ini untukku!" detik hatinya.

Mulutnya masih mengukir senyum. Akhirnya salah satu daripada jaringannya itu terasa berat. Setelah diangkat didapatinya ada seekor ikan. Di wajahnya terbayang sedikit kegembiraan. Mungkin yang seekor ini pengubat usahanya untuk hari itu. Membawa balik ikan walaupun seekor lebih baik daripada pulang dengan tangan kosong.

Hatinya tetap bersyukur walaupun cuma direzekikan dengan seekor ikan sahaja. Tetapi malang, ikan yang seekor itu pun terlepas kembali ke dalam sungai. Namun hatinya masih bersabar."Mungkin ada hikmahnya!" pujuk hatinya.

Sementara si kafir itu pula ketawa berdekah-dekah melihat malangnya nasib si Muslim itu. Dengan ketawa yang berdekah-dekah itulah si kafir pulang dengan jinjingan bakul yang sarat dengan ikan. Manakala si Muslim pulang dengan tangan kosong dan badan yang penat tetapi hatinya bertawakal kepada Allah.

Melihat kejadian yang pelik itu, malaikat yang menjaga si Muslim terus mengadap Allah untuk mendapat kepastian tentang nasib si Muslim itu. Lalu Allah menunjukkan Syurga yang dikhususkan untuk si Muslim itu kerana kesabarannya. Dan ditunjukkan Neraka untuk si kafir itu.

Malaikat berkata, "Tidak sia-sialah usaha dan kesabaran si Muslim itu walaupun mendapat sedikit kesulitan di dunia, tetapi malanglah nasib si kafir itu walaupun dia bernasib baik di dunia."

Rabu, 13 Ogos 2008

Wanita Contoh

Siapakah yang tidak kenal dengan khalifah Umar bin Abdul Aziz?

Beliau adalah cicit dari Sayidina Umar Al Khattab menjadi khalifah Bani Umayyah yang ke-lapan dan mujaddid kurun pertama dan lebih dikenali dengan sebutan ‘Umar kedua’.Tokoh politik yang berjiwa sufi dan tangkas dalam mengendalikan urusan negara. Terkenal dengan kepimpinannya yang adil lagi amanah.

Dan di sisinya ada seorang yang dapat menjadi pendorong dan memahami tugas-tugasnya yang berat dan dapat memberikan inspirasi bagi membantu perjuangannya. Itulah Fatimah isteri beliau, cucu khalifah Abdul Malik yang kaya-raya.Pengorbanan Fatimah dalam perjuangan Islam waktu itu begitu besar. Dia rela mengorbankan semua harta yang dimilikinya untuk diserahkan ke jalan Allah. Dengan begitu ia akan lebih memudahkan dirinya untuk lebih dekat dengan Allah, mendapatkan cinta dan redha dari Allah SWT.

Fatimah juga memainkan peranan penting dan besar dalam membantu perjuangan suaminya. Sebagai isteri dia sanggup berkorban apa saja demi melayani, mentaati dan mendorong suaminya untuk menegakkan keadilan. Bukan hanya harta yang dikeluarkannya tetapi juga tenaga, fikiran, waktu, kesenangan hingga berkorban jiwa dan perasaan.

Semuanya diserahkan untuk Allah dan suaminya. Seorang yang ingin berjuang maka dia harus sanggup berkorban. Pernah suatu hari khalifah Umar berkata kepadanya,“Wahai isteriku Fatimah, Aku kini telah diangkat dan diamanahkan untuk menguruskan umat Muhammad. Tanggung jawabku terhadap rakyat semakin hari semakin besar dan kerana itulah aku tidak dapat memberikan sepenuh waktuku untuk bersamamu dan anak-anak. Aku takut aku tidak dapat menunaikan tanggung jawabku terhadap keluarga dan memberikan hak suami terhadap isterinya. Oleh itu pilihlah ingin terus bersamaku dalam keadaan susah atau izinkan aku berpisah denganmu agar engkau dapat bebas dan tidak terikat serta mendapat kesenangan.”

Dan jawapan yang diberikan oleh Fatimah bukan atas dasar dorongan nafsu tapi kerana ketaqwaan dan keimanan yang tinggi kepada Allah.“Suamiku yang dikasihi, aku lebih rela untuk tetap bersamamu walau dalam keadaan apapun. Asalkan kita dapat terus bersama meneruskan perjuangan agung yang sedang engkau jalani ini.”

Ketaatan yang kuat terhadap suami dan kecintaannya yang besar terhadap Islam yang menjadi pendorong kuat untuk Fatimah berjuang dan berkorban. Jawatan suami baginya bukan segala-galanya.

Malah tidak mengambil sebagai peluang untuk memperkaya diri seperti yang biasanya berlaku hari ini, tapi bahkan dia korbankan segalanya demi mendokong amanah Tuhan yang diletakkan di atas bahu suaminya.

Jumaat, 8 Ogos 2008

Merajuk...

Kenapa merajuk?

Seringkali orang merajuk kerana dia kecil hati orang lain tidak mengindahkannya. Sama ada orang tidak memuliakannya dengan memberikannya satu kedudukan atau tempat yang istimewa, atau tidak menerima pandangannya, atau tidak menunaikan permintaannya.

Siapa yang kena penyakit merajuk?Penyakit merajuk ini boleh kena pada siapa-siapa sahaja. Tidak kira lelaki atau perempuan. Tidak kira tua atau pun muda. Orang yang besar atau pun kecil. Anak boleh merajuk dengan emak, emak boleh merajuk dengan anak.Punca merajukMerajuk ini berpunca dari hati yang kurang ada rasa kehambaan. Bila tidak rasa diri hamba, dia akan merasakan yang dirinya itu tuan. Sebagai tuan, dia perlulah dimuliakan. Kata-katanya perlu didengar dan dikotakan.

Sebenarnya, hatinya marah kerana tidak diberi perhatian. Tetapi mungkin kerana malu atau tidak ada kuasa, ataupun mungkin kerana beranggapan yang marah-marah itu satu sikap yang lebih tidak baik, marahnya pun tidak dilepaskan. Sebaliknya, dia mengalihkan marahnya kepada merajuk. Dengan merajuk, orang akan faham yang dia sebenarnya marah walaupun dia sekadar mendiamkan diri sahaja.Apakah merajuk lebih baik dari marah?

Kedua-duanya adalah sifat terkeji yang mesti diungkai. Kedua-duanya timbul dari rasa diri mulia yang mesti dihormati. Lebih ditakuti lagi kalau orang yang merajuk itu menyangka yang sikapnya itu tidak salah atau dirinya itu lebih baik daripada orang yang marah-marah. Dia sebenarnya sudah tertipu. Dan kalau dia tidak bertaubat atas dosanya ini, dia akan dihukum di akhirat kelak.Bagaimana mengubati sikap merajuk?

Untuk mengubati sikap merajuk, kita perlulah tanamkan sifat berTuhan dan sifat kehambaan. Sifat berTuhan ialah merasakan yang Tuhan itu Maha Berkuasa. Dia boleh timpakan apa sahaja ke atas kita sama ada perkara yang kita suka ataupun tidak.

Kalau kita membantah sama ada dengan cara marah-marah atau merajuk, kita bukan sahaja marah atau merajuk kepada orang yang menyakiti hati kita itu, tetapi kita juga sebenarnya menentang takdir Tuhan ke atas diri kita. Kalau Tuhan tidak izinkan perkara itu berlaku ke atas kita, tentu ia tidak akan berlaku.

Berlakunya ia ke atas kita ialah kerana Tuhan memang hendakkan perkara itu berlaku.Sifat kehambaan pula ialah merasakan yang kita ini hamba yang lemah dan tidak berkuasa. Siapalah kita yang hendak menolak takdir Tuhan. Kita harus terima apa sahaja yang Tuhan timpakan ke atas kita. Kalau orang tidak muliakan kita, memang kita pun tidak layak untuk dimuliakan.

Sebagai hamba, kita juga merasakan yang diri kita banyak berdosa. Justeru itu, layak sangatlah kalau hati kita disakiti, moga-moga dengan kita bersabar, Tuhan akan hapuskan dosa-dosa kita. Kita juga mungkin sudah lebih banyak menyakiti hati orang lain. Lantaran itu, kita patutlah bersabar bila hati kita sedikit sebanyak disakitkan pula.